Jumaat, 6 Januari 2012

ISU PENGKLONAN DARI SUDUT SYARIAH

ISU PENGKLONAN DARI SUDUT SYARIAH

Latar Belakang :

Teknik pengklonan terbahagi kepada dua:

1) Pengklonan janin atau embrio (embryo cloning). Pengklonan ini telah ijalankan ke atas haiwan ternakan bagi menghasilkan ternakan yang lebih kuat bakanya. Eksperimen juga pernah dijalankan ke atas janin manusia dengan menggunakan kaedah ini, iaitu bagi membantu meningkatkan pengetahuan manusia tentang pembiakan sel kanser dan lain-lain penyakit genetic seperti Parkinson dan cystic fibrosis. Dengan itu, para saintis tidak lagi perlu bergantung kepada janin yang diambil dari klinik kesuburan untuk melakukan uji kaji. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan janin-janin asal.

2) Pengklonan dengan menggunakan teknik pemindahan nucleus (nuclear transfer technology) Kaedah ini telah digunakan bagi mencipta seekor kambing yang dinamakan Dolly. Sebelum ini belum pernah seekor mamalia dilahirkan hasil penggunaan teknik tersebut.

Pengklonan DNA dewasa melalui teknik nuclear transfer bertujuan:

1) Pembiakan (Reproductive reason): Pengklonan jenis inilah yang dilakukan baru-baru ini sehingga melahirkan bayi Eve, dan yang diberitakan akan dilahirkan lagi di sebuah negara Eropah tidak lama lagi.

2) Perubatan (Therapeutic benefits): Menurut para saintis pengklonan jenis ini adalah berbeza daripada pengklonan untuk tujuan reproduksi. Antara faedahnya ialah :

i) Bagi memperolehi “stem cell” yang akan membantu pertumbuhan sel baru

ii) Bagi mencipta organ-organ penting

iii) Membantu mengubati pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan air tulang sum-sum

iv) Membantu meningkatkan pengetahuan tentang penyakit-penyakit genetik.

KEPUTUSAN PANEL KAJIAN SYARIAH ;

Panel Kajian Syariah dalam mesyuaratnya pada 1 Mac 2002 telah memutuskan bahawa:

1) Pengklonan untuk tujuan pembiakan manusia hukumnya adalah haram, kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

i) Perbuatan ini akan menjatuhkan darjat manusia sama seperti haiwan dan bertentangan dengan hikmat kejadian manusia seperti yang diterangkan Allah SWT di dalam ayat 70, surah Al-Isra’, dan ayat 12-14, surah Mu’minun, juga ayat 4, surah At-Tin.

ii) Pengklonan jenis ini juga akan memberikan implikasi yang buruk kepada individu dan masyarakat. Akibatnya, akan terhakis ikatan kekeluargaan dari segi syarak dan undang-undang. Hal ini bukan sahaja akan menafikan hak si anak, malah akan menimbulkan komplikasi, jika si ‘ayah’ atau si ‘ibu’ tidak lagi mahu bertanggungjawab terhadap hak tersebut. Kedudukan anak serta ibu tidak lagi terjamin dari segi nafkah, harta pesaka dan sebagainya setelah berlaku perpisahan atau kematian.

iii) Kebenaran menggunakan kaedah ini kepada wanita yang tidak berkahwin akan menambahkan lagi masalah ibu tunggal dan anak yang tidak mendapat kasih sayang bapa. Hal ini menjadi lebih serius dalam jangka panjang, iaitu berkemungkinan bahawa kaum lelaki tidak diperlukan lagi kerana pembiakan tidak lagi bergantung kepada sperma lelaki.

iv) Kaedah ini juga akan memusnahkan institusi keluarga, dan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang tersebut di dalam ayat 30, surah Ar-Rum.

2) Kaedah ini juga tidak seharusnya dibenarkan kepada pasangan suami isteri kerana dari segi saintifik, status anak yang dilahirkan sebenarnya bukanlah ‘anak’ kepada pemberi nucleus tersebut. Sebaliknya anak klon yang dihasilkan adalah ‘kembar seirasnya’ yang dilahirkan pada waktu yang terlewat oleh orang yang berbeza. Hal ini akan menimbulkan implikasi terhadap status anak dari sudut syarak, seperti perwalian, nafkah, harta pusaka, penentuan aurat dan sebagainya.

3) Perbuatan mengklon janin manusia untuk tujuan kajian : Kaedah ini adalah diharuskan dengan syarat bahawa janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari berdasarkan pandangan para Fuqaha’ yang mengharuskan pengguguran kandungan sebelum sempurna 120 hari.

4) Pengklonan manusia untuk diambil sum-sum tulang atau mana-mana organ pada manusia yang telah diklonkan hukumnya haram kerana pengklonan ini telah melahirkan manusia yang cukup sifatnya.

5) Pengklonan untuk tujuan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu bagi menggantikan organ yang rosak hukumnya adalah harus.


KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA KALI KE-51 PADA 11 MAC 2002

Muzakarah yang diadakan pada 11 Mac 2002 telah mengambil perhatian tentang pandangan Panel Kajian Syariah seperti yang tersebut di atas, dan telah membuat keputusan seperti berikut:


1) Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah SWT;

2) Penggunaan ‘stem cell’ bagi tujuan perubatan dan kajian, yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syara’.

Sumber : Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
alkaeda
06-07-04, 10:58 PM
Bayi Tabung Uji dan Menggugurkan Anak


Fatwa MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura): Bayi Tabung Uji & Menggugurkan Anak


Apakah pandangan Islam tentang bayi tabung uji?

Cara-cara yang boleh tergambar dalam penyemaian benih dalam tabung uji pada masa ini ada tujuh cara:


Disemaikan antara benih si suami dengan telur yang diambil dari seorang perempuan yang bukan isteri kepada lelaki itu kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.


Disemaikan antara benih seorang lelaki (bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.


Disemaikan benih si suami dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim seorang perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung (hamil) dengannya.


Disemaikan antara benih seorang lelaki (asing) dengan telur perempuan asing juga kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.


Disemaikan benih dengan telur dari sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri keduanya.


Diambil benih dari si suami dan telur si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri.


Diambil benih si suami kemudian disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai semaian dari dalam.


Cara-cara yang pertama sehingga yang kelima adalah haram
kesemuanya dan terlarang di sisi agama Islam kerana kesannya boleh merosakkan perhubungan halal serta mencampuradukkan keutuhan keturunan. Cara yang ke-6 dan yang ke-7 adalah dibolehkan. Seseorang Islam yang ingin mendapat anak boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi hendaklah ia pastikan dan berjaga-jaga supaya tidak melakukan sesuatu yang lain daripadanya.



Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?


Para ulama bersependapat bahawa pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di ibu tersebut.


Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para ulama tidak bersependapat. Ini disebabkan terdapat perselisihan sama ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran benih itu sebagai haram.


Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan, maka jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam

source : http://www.surau.ladang.net
fosilmitra
06-07-04, 11:11 PM
:salam:

Aikk... acik tersilap tafsir ke maksud bayi tabung uji dgn klon manusia nie?... :p. Sorry arr... Thank to alkaeda for his sources. :bunga:
spider
07-07-04, 10:25 AM
tenkiu pada alkaeda dan fosilmitra utk segala info:)
sub_zero
10-07-04, 12:37 PM
Ini ape yang aku dapat... hmmm




Bayi Tabung Uji (GIFT, IVF , ICSI)
Terdapat beberapa kaedah rawatan yang menggunakan teknklogi kesuburan, diantaranya GIFT, IVF dan ICSI.
Jika semua kaedah rawatan dan ujian telah dijalankan, tetapi masih gagal lagi untuk hamil, jalan terakhir untuk dipertimbangkan ialah melalui kaedah ‘Bayi tabung uji’.

Rawatan secara GIFT dilakukan jika kedua atau satu saluran falopian terbuka. Tetapi jika kedua2 saluran tersumbat cara yang sesuai ialah IVF. Jika benih suami sangat kurang atau tidak aktif kaedah IVF + ICSI dilakukan. Dengan adanya kemudahan pembekuan ‘embryo’ hasil rawatan IVF menjadi lebih baik kerana lebihan embryo boleh disimpan dalam freezer dan dimasukkan balik dalam rahim pada waktu tertentu kemudian.

Kaedah rawatan ‘Bayi tabung uji’ adalah mahal (harga antara RM 6,000 hingga 15,000) bagi setiap percubaan. Disamping itu ia memerlukan lawatan keklinik berulang2 kali atau setiap hari ketika dalam rawatan. Dari segi Islam, kaedah rawatan ‘Bayi tabung uji’ tidak salah asalkan benih suami isteri digunakan dan ia tidak melibatkan benih orang lain.

Asas rawatan
Pada asasnya rawatan secara ‘bayi tabung uji’ melibatkan persecantuman benih dimakmal, kemudian dimasukkan balik kedalam rahim. Dalam GIFT setelah benih lelaki dan telor isteri dicampur, ia dimasukkan balik kedalam rahim melalui muncung saluran falopian , syaratnya saluran tersebut tidak sumbat.

Cara rawatan
Rawatan bermula daripada hari kedua haid. Ada beberapa peringkat;
1.Rangsangan ovary untuk mengeluarkan seberapa banyak telor yang boleh. Ubat subur dan suntukan hormon subur diberikan setiap hari untuk selama 5 hari atau lebih. Pertumbuhan telor diawasi dengan ujian ‘vaginal ultrsound’ dan hormon dalam darah. Apabila telor2 telah matang (biasanya hari ke 12-13-14) penuaian telor dilakukan.
2.Proses penuaian telor dari kilang ovari boleh dilakukan samada melalui ‘vaginal ultrasound’ ataupun melalui pembedahan ‘laparoscopy’. Bergantung kaedah mana (GIFT atau IVF) yang akan dilakukan, bagi melakukan bayi tabung uji secara GIFT, penuaian telor secara laparoscopy adalah sesuai kerana telor dan benih suami yang telah dicantumkan dimakmal perlu dimasukkan balik ke dalam saluran falopian pada ketika itu juga. Bagi bayi tabung uji secara IVF biasanya penuaian telor dilakukan melalui saluran faraj dengan menggunakan ‘vaginal ultrasound scanning’. Walau demikian kedua-dua tatacara ini memerlukan pesakit dibius supaya ia membolehkan penuaian benih yang optima.
3.Percantuman benih dan telor dalam makmal (in vitro fertilization). Satelah telor2 dituai dan benih2 suami didapati, percantuman dilakukan dimakmal kesuburan selama antara 2-3 hari. Hasilnya ialah ‘embryo’ yang mengandungi antara 2-16 sel. Saterusnya embryo akan dipindahkan kedalam rahim.
4. Pindah embryo kedalam rahim. Dua embryo akan dipindahkan kedalam rahim setiap kali. Yang lainnya akan disimpan dalam ‘freezer’ dan boleh tahan beberapa tahun. Jika pemindahan embryo pertama gagal, ia boleh diulang pada masa lain dari embryo yang dibekukan.
5. Rawatan selepasnya. Sokongan ubat hormon secara suntikan atau lainya perlu diberikan. Pesakit perlu bayanyak berehat. Jauhkan dari persetubuhan.

Bayi Tabung Uji: Menurut Perspektif Sains dan Fiqh Islami
Oleh: Akhi Masrawi - Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
Bulan lepas (Ogos) menyaksikan purata pencarian yang menjumpai laman saya menggunakan kalimah "pengklonan" atau klon. Saya sendiri tidak pasti, mengapa begitu banyak surf yang dibuat semata-mata mencari subjek berkenaan dan siapa pencarinya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa saya ada menulis satu catatan tentang klon dan pengklonan pada catatan 234 bertarikh 11 Ogos selepas menghadiri pembentangan kertas kerja tersebut yang dibentangkan oleh Ustaz Sarif Yusof, khirrij (Graduan) al-Azhar Damanhur. Sekurang-kurangnya catatan tersebut telah menjadi satu modus operandi kepada para pelayar yang mahukan informasi berkaitan klon walaupun catatan itu hanya sekadar beberapa sedutan ringkas dari isi pembentangan dan kertas kerja yang dibentangkan itu. Catatan itu juga sedikit sebanyak menyebabkan peningkatan hits kemasukan pelayar ke laman PUJANGGA Online.

Semalam saya menghadiri satu lagi majlis ilmu di Bait Izzah dengan perbincangan mengenai Bayi tabung uji. Dua orang ahli panel dijemput menjayakan perbincangan tersebut. Panelis pertama, Dr Ahmad Shuib Yahaya, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan Universiti Ain Syam, Kaherah dan panelis kedua ialah sahabat saya sendiri, Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, khirrij Fakulti Syariah Islamiah Universiti al-Azhar cawangan Tanta dengan taqdir Jayyid Jiddan (khabarnya akan menyambung pengajian sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam pengkhususan Usul Fiqh).

Saya begitu tertarik dengan kedua-dua perbahasan (sains-fiqh) yang dikupas dengan teliti oleh kedua-dua panel yang dijemput. Walaupun kehadiran pendengar agak kurang, namun tidak mematahkan semangat panelis. Panelis pertama membicarakan tentang definisi, sejarah, teknik-teknik yang dilakukan untuk operasi bayi tabung uji, pembekuan embrio, pemilihan jantina bayi, ibu tumbang, permanian beradas, peruntukan perundangan, tanggapan dan risiko yang dihadapi. Saya tertarik dengan fakta bahaya bayi tabung uji pertama telah berjaya dilahirkan pada 25 Julai 1978 dalam sejarah dunia dinamakan Louise Brown atas usaha Dr Robert Edwards. Walau bagaimanapun kejayaan tersebut hanya selepas 100 percubaan menemui kegagalan.

Sejak kecil saya berfikir (walaupun tidak serius) tentang mengapakah dinamakan bayi tabung uji? Apakah kerana bayi tidak dihamilkan didalam rahim wanita bernama ibu? Sebenarnya ramai yang keliru... meskipun dinamakan bayi tabung uji, tetapi persenyawaan dilakukan menggunakan piring. Jawapan itu sebenarnya telah saya temui semasa di sekolah menengah lagi, ketika seorang guru sains saya menceritakan tentang persenyawaan dalam subjek sains. Ketika itu peluang ke makmal sains adalah sangat terhad, namun bukanlah halangan untuk saya tidak kenal perkakasan makmal sehingga tidak dapat membezakan antara tabung uji dan piring pateri. Namun, pengistilahan bayi tabung uji sudah amat tersohor malah di dalam bahasa Arab sendiri disebut "al-atfal al-anabib" yang bermaksud bayi tabung uji. Mengapa ya?

Mendengar penjelasan teknik persenyawaan yang dilakukan untuk pengoperasian bayi tabung uji oleh Dr Syuib, menambah keyakinan saya betapa rahim ibu (wanita) adalah satu ciptaan Allah yang tidak mungkin ditiru oleh manusia. Ini kerana jika manusia mampu meniru rahim wanita, sudah tentu bayi mampu dihamilkan diluar. Akan tetapi bagaimanapun bentuk persenyawaan samaada persenyawaan luar atau dalam, masih tetap memerlukan rahim sebagai tempat penghamilan. Teknik-teknik yang dianjurkan seperti In Vitro Fertilization (IVF) atau persenyawaan luar rahim, iaitu dilakukan dengan mengeluarkan sperma dan ovum dan disenyawakan di dalam piring makmal dengan persekitaran yang sesuai menjadi embrio yang kemudiannya dipindahkan ke dalam rahim. Selain dari teknik IVF, terdapat juga teknik persenyawaan yang lain seperti Gamete Intrafallopian Transfer (GIFT) dan PGD. Namun saya tidaklah berkesempatan untuk membincangkan keseluruhan isi perbahasan menurut sains, kerana ianya melibatkan proses-proses perubatan yang agak janggal.

Kesempatan membicarakan topik bayi tabung uji ini, saya lebih merasa perlu menjelaskan perkaitan perkembangan sains dengan qarar penghukuman menurut fiqh Islami. Justeru sejauhmanapun kemajuan yang mampu dicipta oleh sains sekiranya ianya bertentangan dengan fiqh Islami ianya tetap dianggap mempunyai kelemahan dan larangan untuk diamalkan.

Menurut panelis kedua, Ustaz Hairul Nizam terdapat dua bentuk asas talqeh al-istinai'e (persenyawaan buatan) bayi tabung uji iaitu persenyawaan dalam dan luar. Pembahagian ini diperincikan kepada tujuh katogeri.

Persenyawaan dalaman

Pertama: Sperma yang diambil dari si suami dimasukkan ke dalam faraj isteri untuk bergabung dengan ovum si isteri dengan kaedah persenyawaan tabi'e (biasa). Kaedah ini dilakukan apabila suami tidak mampu memancutkan sperma yang memadai untuk disenyawakan melalui persetubuhan. Hukum bagi kaedah ini adalah harus.

Kedua: Sperma daripada lelaki asing diambil dan dimasukkan ke dalam faraj wanita yang sudah bersuami. Cara ini apabila sperma suami tidak layak untuk menghasilkan anak atau tidak mampu bergabung dengan ovum. Seolah seperti berlaku perzinaan walaupun tidak melalui persetubuhan badan. Cara ini adalah haram.

Persenyawaan luar

Ketiga: Sperma suami dan ovum isteri dikeluarkan dan disenyawakan di luar. Kemudian setelah menjadi embrio dimasukkan semula ke dalam rahim isteri dan berlaku kehamilan seperti biasa. Cara ini adalah harus.

Keempat: Persenyawaan dilakukan di luar dengan sperma diambil dari suami dan ovum daripada wanita yang bukan isterinya. Lalu setelah disenyawakan dimasukkan pula ke dalam rahim si isteri. Kaedah ini digunakan apabila si isteri tidak mempunyai ovum atau ovumnya tidak mampu disenyawakan tetapi mempunyai dinding rahim dan rahim untuk proses penempelan yang telah disenyawakan. Cara ini adalah haram.

Kelima: Sperma dan ovum diambil daripada orang asing, lalu disenyawakan dan dimasukkan ke dalam faraj seorang wanita yang telah bersuami. Kaedah ini dilakukan kerana si isteri dan suami tidak mempunyai benih yang baik untuk disenyawakan. Namun si isteri mempunyai rahim yang sesuai untuk hamil. Cara ini juga haram kerana ianya melibatkan benih asing yang tidak melibatkan nasab yang betul.

Keenam: Sperma dan ovum adalah milik sepasang suami isteri tetapi dimasukkan ke dalam faraj wanita asing yang tiada perkaitan pernikahan dengan si suami. Keadaan ini berlaku apabila si isteri tidak mampu hamil tetapi mempunyai ovum yang mampu disenyawakan. Perbincangan lanjut melibatkan hukum sewa rahim. Cara ini juga haram sebagaimana hukum sewa rahim.

Ketujuh: Cara ini sama dengan kaedah keenam, tetapi wanita yang dijadikan ibu tumpang ialah isteri lain bagi si suami yang mengamalkan poligami. Cara ini pernah diharuskan pada majmak Fiqh Islami ketujuh, tetapi pendapat tersebut telah ditarik balik setelah dibincangkan dengan lebih teliti pada majmak daurah kelapan dan berhukum dengan hukum juga haram.

Jelasnya perbahasan mengenai bayi tabung uji berkait rapat dengan perbahasan nasab di dalam Islam. Agama kita sangat menitik beratkan persoalan nasab lantaran ianya adalah merupakan lima perkara asasi dalam pertimbangan darurat, hajat dan tahsiniyat. Cuba kita sama-sama bayangkan jika kemajuan sains tidak dipandu dengan panduan fiqh Islami, pasti dunia akan celaru dan haru-biru. Sekarangpun sudah ada, terutama di barat anak-anak luar nikah yang jika ditanya mungkin tidak mengenali siapakah bapa mereka lantaran gejala sosial yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan seks bebas.

Walaupun Islam membenarkan 2 kaedah yang disebutkan diatas untuk proses persenyawaan buatan (kaedah pertama dan ketiga), tetapi perlu dilihat adanya syarat-syarat dan dzowabit yang perlu dijaga dan diawasi. Menurut Dr Syuib, kaedah paling praktikal bagi persenyawaan buatan adalah dengan mendapatkan sperma yang segar yang tidak dapat tidak dikeluarkan dengan menggunakan kaedah masturbasi/ onani atau melancap (lelaki mengeluarkan mani dengan menggunakan tangannya sendiri). Jumhur ulamak menegaskan larangan terhadap perbuatan tersebut, malah ahli perubatan juga tidak menggalakkan kerana terdapat kesan sampingan. Walaupun begitu, perlulah dilihat sekiranya terdapat cara lain yang lebih bertepatan dengan Islam. Misalnya dengan menggunakan proses pembekuan sperma, pancutan sperma ke dalam kondom dengan suami mengadakan persetubuhan dengan isteri terlebih dahulu sebelum rawatan atau dengan isteri kedua jika mengamalkan poligami. Cuma perbincangan tidak menyebut apakah boleh menggunakan kaedah onani dengan tangan isteri, kerana saya pernah terjumpa dan terbaca pandangan yang mengatakan boleh onani dengan menggunakan tangan isteri.

Sebenarnya perbahasan tentang persenyawaan buatan dan bayi tabung uji sangat luas. Saya hanya mengeluarkan sebahagian perbahasan sahaja untuk dilihat sebagai suatu yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Tidak hairanlah jika di dalam al-Quran Allah menyuruh manusia mengkaji tentang tubuh badan mereka sendiri, kerana luasnya ilmu Allah itu tidak akan mampu ditandingi oleh manusia. Keith Moore ketika diberikan kesemua ayat-ayat Al-Quran berkaitan manusia juga mengakui masih terdapat apa yang tidak dibongkar oleh kemajuan sains. Justeru sains berlari sejajar dengan agama.

Tak mustahil jika agama diketepikan suatu hari nanti akan lahir kerosakan yang paling dahsyat. Apa tidaknya jika hari ini ada manusia yang bangga seperti Louise Brown mendakwa dirinya sebagai manusia hasil dari persenyawaan tabung uji, mungkin suatu hari nanti ada pula manusia yang berbangga sebagai bayi hasil klon.

Mungkin seorang guru masa depan akan cepat bersara lantaran dalam sebuah kelas yang diajarnya terdapat sekurang-kurang murid yang lahir tanpa bapa (anak luar nikah), murid yang lahir tanpa ibu (pasangan gay - lesbians atau homoseks yang melakukan persenyawaan buatan), murid yang lahir tanpa kenal siapa ibu bapanya (bayi tabung uji dari sperma dan ovum yang dikumpul) murid yang lahir tanpa ibu dan bapa (melalui kaedah klon - walaupun sehingga kini belum ada kejayaan) dan mungkin ketika itu 10 daripada 20 pelajar dalam sesebuah kelas adalah berwajah serupa. Mustahilkah?

9 September 2003
© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan