Khamis, 29 Disember 2011

Bayi Tabung Uji Diharuskan

KELEBIHAN manusia berbanding makhluk Allah lain adalah pada kemampuan akal dan fikirannya. Manusia dianugerahkan kelebihan akal sehingga mampu mencipta perkara baru yang tidak pernah terbayang dan terfikir oleh generasi sebelumnya. 
Bangsa jin mendiami bumi jauh sebelum terciptanya manusia. Namun, kerana keterbatasan akal mereka, Allah tidak memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerokai dan memajukan alam ini. 
Kelemahan akal jin terbukti ketika Allah memerintahkan iblis, jin yang paling alim ketika itu, untuk menyebutkan al-Asma' (nama) benda yang ada di alam ini. Iblis gagal melakukan apa yang diperintah Allah.. 
Nabi Adam, meskipun baru dicipta ketika itu, dengan fasihnya dapat menyebut satu demi satu nama benda secara terperinci dengan kegunaannya sekali. 
Justeru, wajarlah kalau Dr Mohd Iqbal, filosof Islam dari India, menyatakan bahawa al-Asma' atau nama dalam al-Quran, sebenarnya bukan setakat mengetahui nama sesuatu, malah bermakna konsep ilmu pengetahuan itu sendiri. Ertinya, iblis tidak memiliki ilmu berkaitan masalah benda di bumi. 
Sehubungan itu, wajarlah kalau Islam mencela kepercayaan kepada tahyul, khurafat dan semua benda karut. Ini kerana ia menjatuhkan nilai kemanusiaan yang tinggi dengan cara memperhambakan diri kepada kelemahan iblis, jin dan syaitan. 
Dalam dunia perubatan, satu daripada kemajuan yang dicapai oleh manusia hari ini ialah proses melahirkan bayi melalui tabung uji atau dalam bahasa perubatannya in vitro fertilization. 
Sebenarnya, melahirkan bayi (reproduksi) adalah satu peristiwa yang alami dalam kehidupan manusia. Ini berlaku apabila sel telur lelaki (air mani) dan sel telur wanita (ovum) bertemu dalam tuba fallopi (rahim) seorang wanita. Pertemuan ovum dan air mani ini, di peringkat awal menjadi zigot, kemudian embrio dan selanjutnya janin. Selepas 36 minggu, akan lahirlah seorang bayi. 
Namun begitu, tidak semua pasangan dapat melahirkan anak dengan cara normal seperti di atas disebabkan permasalahan dalam organ reproduksi suami atau isteri. 
Satu daripada cara yang dapat ditempuh untuk dapat memiliki keturunan adalah dengan menggunakan in vitro fertilization atau kaedah bayi tabung uji. Usaha manusia untuk melahirkan keturunan dengan cara bayi tabung uji berhasil dengan kelahiran bayi tabung uji pertama pada tahun 1978, hasil kerja Edward Steptoe, yang diberi nama Lois Brown. 
Terdapat beberapa pendapat ula-ma berkaitan bayi tabung uji ini. 
Ada yang membolehkan dengan beberapa syarat, manakala ada pula yang menganggap ia haram kerana ia seolah-olah mengubah takdir Tuhan. 
Ulama yang membenarkan berpendapat, bayi tabung uji bukan mengubah takdir atau ciptaan tuhan. Sebab manusia atau doktor bukannya membuat sesuatu yang baru, tetapi hanya mengubah sedikit proses daripada yang biasa. 
Dan proses itu tidak terkeluar daripada apa yang disebutkan Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 14, bermaksud: Kemudian kami jadikan manusia itu daripada air mani dalam tempat yang kukuh (rahim), lalu air mani tadi kami jadikan segumpal darah, darah itu kami jadikan sepotong daging, daging itu menjadi tulang, tulang itu kami bungkus dengan daging, kemudian kami ciptakan makhluk yang sempurna (manusia).  
Proses penciptaan manusia yang dikatakan dalam surah al-Mukminun ini tidak dapat dibantah oleh pakar-pakar ilmu dan tidak mungkin dapat mengubah proses ini. 
Secara khusus, permasalahan bayi tabung uji tidak disentuh dalam al-Quran mahupun hadis. Oleh itu, permasalahan ini adalah medan ijtihad agar umat Islam tidak jumud dalam berfikir dan dapat menjawab permasalahan manusia moden. 
Majoriti ulama berpendapat, bayi tabung uji dibenarkan dan hukumnya mubah (harus), dengan syarat, ia mesti dilakukan oleh suami dan isteri yang sah menurut syariah Islam. 
Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas, yang bermaksud: Bahawa dosa yang paling besar di sisi Allah selepas syirik, adalah seorang lelaki yang meletakkan air maninya di rahim perempuan yang tidak halal baginya. . 
Pertemuan ulama fikah Islam sedunia di Amman, Jordan pada 11 sehingga 16 Oktober 1986, membincangkan masalah bayi tabung uji ini dan menghasilkan beberapa keputusan mengenai pembahagian proses pembuatan bayi tabung uji ini. 
1) Apabila kesalahan ada pada pihak isteri, sehingga mereka mengambil ovum wanita lain untuk dicampurkan dengan air mani suaminya (ke dalam tabung uji atau langsung). Kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri lelaki itu. 
2) Apabila kesalahan ada pada pihak suami, sehingga keluarga ini terpaksa mengambil air mani lelaki lain untuk dicampurkan dengan ovum isterinya (dalam tabung uji atau langsung), lalu kemudian disuntikkan ke dalam rahim isterinya. 
3) Air mani suami dan ovum isteri dalam keadaan baik, akan tetapi mereka ingin melahirkan bayi melalui rahim perempuan lain, dengan cara mengambil air mani suami dan ovum isterinya dan disatukan (ke dalam tabung uji atau langsung), kemudian disuntik ke dalam rahim wanita lain (sewa rahim). 
4) Air mani suami dan isteri tidak baik atau inginkan benih orang lain, sehingga mereka mengambil air mani dan ovum orang lain untuk disimpan di (tabung uji atau langsung) disuntikkan ke dalam rahim isterinya 
5) Apabila lelaki itu memiliki dua isteri, di mana air mani suami dan ovum isteri pertama disatukan dalam tabung uji, kemudian disuntikkan ke dalam rahim isteri yang kedua. 
6) Percampuran air mani suami dan ovum isteri ke dalam tabung uji lalu disuntikkan ke dalam rahim si isteri. 
7) Air mani suami disuntikkan secara langsung ke rahim isteri sehingga berlaku pembenihan langsung di rahim isteri tanpa proses persetubuhan. 
Ulama yang bermesyuarat ketika itu, sepakat bahawa proses pertama hingga keempat adalah haram secara syariah. 
Proses kelima, keenam dan tujuh dibolehkan. 
Bagaimanapun, mereka berkesimpulan proses kelima adalah yang terbaik. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan